Pengerusi Barisan Nasional Kelantan (BN),
Datuk Seri Mustapa Mohamed
Jika tuntutan royalti oleh kerajaan negeri Kelantan sebanyak RM12 bilion itu adalah benar, ia sepatutnya digunakan untuk masa depan negeri dan bukan diperuntukkan kesemuanya dalam 23 perkara yang ditawarkan di bawah manifesto PAS Kelantan.
Pengerusi Barisan Nasional Kelantan (BN), Datuk Seri
Mustapa Mohamed berkata, kesemua 23 perkara yang ditawarkan oleh PAS negeri itu
berbentuk elaun dan bantuan kepada rakyat Kelantan.
"Kalau (benar) pun ada wang itu, kita kena gunakan
untuk masa depan, bukan untuk 'makan la ni' (guna sekarang). Ia sepatutnya
digunakan untuk pembangunan struktur, bina kekuatan, pendidikan, bina kapasiti.
Takkanlah semua nak diberikan kepada semua.
"(Bantuan) tu memang baguslah, tetapi kalau kesemua
RM12 bilion itu hendak digunakan untuk tujuan tersebut maka masa depan negeri
Kelantan akan 'gelap-gelita'," katanya kepada pemberita selepas membuat
tinjauan di Pasar Besar Machang dekat sini, Sabtu.
Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
tuntutan royalti RM12 bilion oleh kerajaan negeri yang akan digunakan dalam
23-sub tawaran kepada rakyat di negeri itu, di bawah tawaran untuk
memperjuangkan hak rakyat negeri atas prinsip federalisme (perlembagaan).
Antara 23 sub-tawaran itu ialah bantuan elaun penjagaan
anak-anak berumur di bawah 12 tahun RM100 untuk setiap keluarga, bantuan warga
emas RM1,000 seorang, sumbangan ibadat Haji kali pertama RM1,000 seorang,
bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi RM1,000 seorang.
Mustapa berkata, setiap perkara seharusnya mempunyai
perancangan masa depan dan bukan menggunakan semua peruntukan itu sebagai
bantuan untuk rakyat.
"Ianya bagus, tetapi kita harus ada perancangan
membina kekuatan untuk masa depan dalam menarik pelaburan dan memperbaiki
infrastruktur supaya Kelantan lebih menarik.
"Pada masa ini, tiada tarikan kepada para pelabur
untuk membuat pelaburan di Kelantan. Saya tak nafikan pentingnya bantuan.
Tetapi kalau kita hanya tumpukan bantuan semata-mata maka kerajaan negeri tiada
perancangan yang baik," katanya.
Mengenai tuntutan royalti RM12 bilion itu, Mustapa
menjelaskan bahawa ia adalah tidak berasas kerana tanpa berpandukan pada
peruntukan undang-undang.
"Sebab itu kita tubuhkan jawatankuasa yang akan
menentukan apakah hak kerajaan negeri Kelantan dan berapa banyak yang perlu
dibayar.
"Pada masa ini, bagi Kerajaan Pusat (berpendapat)
bahawa jumlah tuntuan RM12 bilion itu tidak mempunyai asasnya, yang tidak
berpandukan pada peruntukan undang-undang.
"Apapun satu jawatankuasa sudah pun ditubuhkan, maka
semua pihak haruslah menunggu keputusan yang akan dibuat," katanya.
No comments:
Post a Comment