Thursday, October 30, 2008

Penuntut Dan Kakitangan Institut Pengajian Tinggi M'sia Dan Thailand Sertai Konvensyen

Kira-kira 500 orang penuntut dan kakitangan institut pangajian tinggi Malaysia dan Thailand menyertai Konvensyen Pembangunan Penuntut Serantau selama tiga hari bermula di sini hari ini.

Konvensyen itu yang disertai oleh penuntut dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta Prince of Songkhla University (UPS) Thailand.

Naib Canselor UUM Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata konvensyen itu yang bertemakan "Peningkatan Pembangunan Penuntut" diadakan bagi menyediakan antara lain peluang untuk mewujudkan atau memperbaharui hubungan antara satu sama lain dalam forum terbuka bagi bertukar-tukar pandangan dan idea.

Konvensyen ini diadakan pada masa untuk mendapat dan menangani isu mengenai pembangunan penuntut di institusi pengajian tinggi yang hari ini menghadapi cabaran dan peluang baru memgenai mengantarabangsakan dalam dunia yang tidak mengenal sempadan yang kini kian meningkat, katanya pada konvensyen itu malam ini.

Beliau berkata konvensyen itu adalah salah satu usaha ke arah mewujudkan peluang kerjasama dan mengadakan rangkaian di kalangan peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi rantau ini.

Konvensyen itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, UUM, PSU dan Biro Tatanegara Malaysia.

Tuesday, October 28, 2008

Tun M tidak setuju mansuh ekuiti bumiputera


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed tidak bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam.

“Benda-benda macam ini patut bawa kepada BN (Barisan Nasional), tak payah bincang di luar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat penyenaraian awam bagi memastikan ia terus berdaya saing.

“Kalau kita isytihar orang akan mintak nanti. Kalau kita anggota BN kita cakap dalam BN dulu. Kita ada Majlis Tertinggi,” katanya.

Mengenai cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara beransur-ansur, Mahathir berkata:

“Kalau sudah tercapai matlamat DEB kita patut hapuskan.

"Tapi sekarang ini kita belum capai, banyak lagi nak kena buat."

Thursday, October 23, 2008

CPU kecil tetapi bergaya


PERANTI asas utama yang perlu ada untuk menggerakkan sebuah komputer peribadi adalah unit pemprosesan sepusat, selain monitor, papan kekunci dan juga tetikus.


Kebanyakan unit pemprosesan yang biasa kita lihat adalah bersaiz besar dan agak sukar untuk dibawa dari satu tempat ke satu tempat.


Namun, melalui revolusi pengkomputeran yang semakin berkembang, peranti tersebut kini wujud dalam bentuk yang lebih kecil bersaiz sebuah diari dengan masih mengekalkan fungsi asalnya.


Ia dilancarkan oleh syarikat pengeluar komputer terkenal, Asustek Komputer Malaysia Sdn.

Bhd. (Asus) bagi memenuhi keperluan pengguna yang mengidamkan sebuah komputer peribadi yang bergaya, mudah dikendalikan dan menjimatkan kuasa.


Penghasilan model Eee Box yang merupakan produk terbaru untuk siri Eee PC menawarkan penyelesaian pengkomputeran yang kompak dan elegan.


Pengguna hanya perlu menekan satu butang mudah pada unit pemprosesan tersebut untuk mengaktifkan fungsi-fungsi yang ditawarkan.


Dengan menggunakan teknologi inovasi Asus iaitu Express Gate, pengguna akan dapat mengakses Internet, mengurus gambar dan berkomunikasi melalui aplikasi IM dan Skype dengan lebih pantas.


Eee Box disokong oleh teknologi sambungan tanpa wayar terkini, WiFi 802.11n yang membolehkan pengguna memuat turun video dengan durasi 30 minit hanya mengambil masa 44 saat.


Sementara itu, model tersebut juga mengaplikasikan prestasi penggunaan tenaga secara efisien dengan penjimatan sehingga 90 peratus berbanding unit pemprosesan yang bersaiz besar.


Lebih menarik, ia dilengkapi pemacu IPTV yang menawarkan aplikasi televisyen Internet untuk membolehkan pengguna menikmati pelbagai program televisyen secara mudah dan percuma.


Untuk menjimatkan ruang, pengguna boleh menyangkutkan Eee Box tersebut pada monitor dan ia secara tidak langsung menjadikan komputer peribadi mereka menawarkan perkhidmatan semua dalam satu.


Malah, model berkenaan turut boleh digunakan untuk penyambungan bersama alat elektronik media lain untuk pengalaman muzik, menonton video dan akses internet yang lebih naik.


Ia ditawarkan pada harga RM1,099. Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya boleh didapati di laman web www.asus.com.

Tuesday, October 21, 2008

Ketua Pemuda: Zahidi umum pendirian esok


Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin kekal dengan perdiriannya iaitu berkemungkinan besar menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Zahidi berkata, beliau akan bertemu dengan Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis hari ini untuk menyatakan hasratnya itu sebelum mengumumkan pengunduran beliau Rabu ini.

"Saya kena maklumkan dulu kepada perhubungan negeri, lebih elok. Kemudian barulah saya buat pengumumuman (untuk menarik diri)," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Zahidi berkata, beliau menarik diri kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkempen merebut jawatan itu kerana perlu memberikan komitmen penuh terhadap Umno bahagiannya.

"Dalam masa dua minggu ini, saya memang tak sempat nak berkempen. Yang lawan saya semuanya 'giant' pula," katanya.

Zahidi setakat ini hanya memperolehi satu pencalonan iaitu daripada bahagiannya.

Saingan merebut kerusi Ketua Pemuda kini tertumpu kepada tiga calon iaitu Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir yang kini merupakan satu-satunya calon yang telah melepasi kuota dengan 63 pencalonan; Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dengan 36 pencalonan dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo dengan 27 pencalonan.

Zahidi berkata, Mukhriz dilihat berpeluang besar untuk memenangi jawatan tersebut kerana beliau berada dalam apa yang disifatkannya sebagai 'arus Mahathir' (merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad).

"Datuk Seri Khir Toyo juga berpeluang kerana beliau juga dalam arus yang sama.

"Sementara itu, Khairy pula akan menempuhi laluan yang sukar kerana beliau dilihat dibayangi bapa mentuanya (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) lebih daripada kemampuannya sendiri," katanya.