Tuesday, August 18, 2009

Mempertikai Kontrak Sosial boleh bawa bencana pada negara

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memberi amaran negara akan huru-hara dan masyarakat ditimpa bencana jika kontrak sosial dipertikaikan serta dijadikan bahan politik.

Baginda khuatir tamadun dan kemerdekaan negara akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.

Titah baginda kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan adalah perkara suci yang mempunyai 'rahsia' dan harus dipertahankan kerana ia menjamin kerukunan serta keamanan negara.


Friday, August 7, 2009

7 wasiat raja Melayu

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
* Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
* Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
* Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

NUKILAN : UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, August 5, 2009

Tun Mahathir, Hasmah ibarat pengantin baru

Saya melihat di beberapa majlis perkahwinan yang saya hadiri, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan isteri sebagai tetamu menjadi tumpuan anak-anak muda daripada berbilang kaum untuk bergambar. Mereka ibarat seniman pujaan.

Mungkin ini berlaku juga di tempat-tempat lain, tetapi suasana di majlis perkahwinan lebih menampakkan tumpuan kepada mereka kerana turut hadir ialah termasuk bekas perdana menteri dan menteri-menteri lain yang lebih muda dan artis-artis popular.

Lebih dari itu, yang sewajarnya yang menjadi tumpuan ialah pengantin baru, tetapi seolah-olah Mahathir dan Hasmah pula pengantin baru.


Wednesday, July 8, 2009

Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.


Tuesday, April 7, 2009

TUN MAHATHIR DI Bukit Gantang

Dr. Mahathir tidak berhasrat pegang jawatan penasihat

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan sebagai penasihat kerajaan sekalipun jika ditawarkan jawatan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun beliau sanggup memberi khidmat nasihat secara tidak rasmi pada bila-bila masa jika diminta oleh kerajaan.

“Kalau nak bertanya sedikit nasihat boleh, tetapi tidak payah angkat jadi penasihat,” katanya ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad: Negarawan Ulung, di sini petang ini. - Bernama

Wednesday, April 1, 2009

Lantik Tun Mahathir Penasihat

Kesungguhan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk memperkasakan semula kerajaan, BN dan UMNO wajar diterjemahkan menjadi kenyataan dengan seberapa segera – wujudkan satu kumpulan negarawan ulung untuk menasihati kerajaan dari semasa ke semasa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya.

Kumpulan negarawan ulung ini pula wajar diberikan skop tugasan yang jelas dan komprehensif termasuk berinteraksi dengan generasi muda, professional, anggota akademik, pelajar, wakil pekerja dan wakil-wakil masyarakat akar umbi – termasuk nelayan dan petani -- tanpa mengira kaum. – Ruhanie Ahmad

Tun Mahathir suntik semangat

KUALA LUMPUR 29 Mac - Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kembali menyertai UMNO boleh memberi lonjakan semangat baru kepada ahli-ahli parti itu.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, langkah Dr. Mahathir itu dilihat akan mengembalikan semula ahli-ahlinya yang telah 'lari' daripada UMNO sebelum ini.

"Ini kerana Dr. Mahathir adalah ikon kepada rakyat terutama generasi muda. Mereka yang merasa sinis dan ragu dengan UMNO setelah apa yang berlaku sebelum ini mungkin akan mengubah sikap itu dan mengikut jejak Mahathir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru yang berlaku di dalam UMNO apabila bekas Perdana Menteri itu secara mengejut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO ke-59 semalam dan mengumumkan akan menyertai semula UMNO.

Mohamad Mustafa berkata, penyatuan antara dua bekas Presiden UMNO di pentas UMNO semalam juga merupakan permulaan baik buat parti keramat orang Melayu itu.

"Ini semua adalah respons positif yang akan membuka ruang kepada UMNO untuk kembali diyakini rakyat," katanya. Utusan Malaysia.

Tuesday, March 31, 2009

Tarikh Peralihan Kuasa: Tunggu Kenyataan Rasmi, Kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tarikh sebenar peralihan kuasa Perdana Menteri kepada beliau daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya akan diketahui selepas kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Katanya beliau tidak boleh membuat sebarang ulasan selagi kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

"Ini kena tunggu kenyataan rasmi dululah," katanya kepada pemberita selepas melawat Sin Chew Daily di sini, Selasa.

Najib, yang telah mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada perhimpunan agung parti itu minggu lepas, berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa beliau akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Jumaat ini.

Abdullah, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Khamis ini.

Ketika ditanya mengenai kabinet barunya, Najib berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas acara angkat sumpah jawatan Perdana Menteri dijalankan.

Ditanya kemungkinan beliau akan memilih calon Umno yang kalah dalam pemilihan Umno lepas untuk membarisi kabinetnya nanti, Najib berkata: "Ia belum difikirkan lagi."

Pada pemilihan Umno yang lepas, beberapa menteri dan timbalan menteri gagal merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi parti menyebabkan seorang daripada mereka menyuarakan hasrat meletakkan jawatan dalam kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, antara yang tewas, berkata beliau akan meletak jawatan kabinetnya dengan alasan kekalahan itu menggambarkan beliau tidak cemerlang dalam tugasnya sebagai menteri.

Menteri-menteri lain yang kalah termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim. Mereka bagaimanapun menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan masing-masing.

SUMBER : BERNAMA

Monday, March 30, 2009

Kemasukan Dr M Pulihkan Kepercayaan Rakyat Terhadap Umno

Keyakinan rakyat kepada Umno dan kerajaan akan kembali kukuh sekiranya mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyertai Umno, kata anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim berkata Dr Mahathir mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap suasana politik negara dan ia mampu menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin menurun sebelum ini.

"Pengaruh Tun Mahathir bukan sahaja mampu menarik bangsa Melayu menyokong semula Umno tetapi turut memberikan keyakinan kepada bukan Melayu untuk menyokong kerajaan," katanya selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun ke 59 Keputeraan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Ibrahim mengulas pengumuman Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini akan menyertai semula Umno pada satu tarikh sesuai.

Katanya pengaruh Dr Mahathir itu bukan sahaja mempunyai erti yang sangat besar kepada rakyat negara ini tetapi juga turut diakui oleh masyarakat antarabangsa dan sebab itu Umno perlu menerima pandangannya jika pemimpin itu kembali ke dalam Umno.

"Saya rasa tidak lama lagi Tun (Mahathir)...akan menyertai semula Umno dan kini sedang melihat perkembangan dalam parti itu," katanya.

Ibrahim yang rapat dengan Dr Mahathir juga turut membayangkan akan membuat "satu kejutan" terhadap senario politik dan juga menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman itu.

"Saya orang kerdil dan tidak penting, tapi Tun yang lebih penting (untuk masuk Umno)," katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman Dr Mahathir itu dan katanya ini menunjukkan bahawa beliau sangat sayangkan parti terbesar bangsa Melayu itu.

"Umno sentiasa buka pintu kepada Tun dan mampu berperanan penasihat kepada kepimpinan baru negara," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Pada majlis pengurniaan itu, Dr Ahmad Zahid merupakan penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapa Mohamed pula menyifatkan kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam Umno satu petanda yang baik untuk penyatuan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani amat berharap Dr Mahathir segera berbuat demikian untuk memperkukuhkan bukan sahaja parti tetapi memberi kekuatan kepada kerajaan.

"Negara perlukan buah fikiran bernas daripada pemimpin seperti Tun dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai kemampuan tinggi untuk membawa negara ke mercu kejayaan," katanya.

Dalam pada itu, PAS berpendapat pengumuman Dr Mahathir itu tidak akan mampu membantu Barisan Nasional (BN) memenangi tiga pilihan raya kecil - Parlimen Bukit Gantang di Perak; DUN Bukit Selambau di Kedah; serta DUN Batang Ai di Sarawak pada 7 April ini.

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata ia (pengumuman itu) tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada kedudukan pilihan raya kecil ketiga-tiga kawasan itu selagi imej negatif Umno masih membayangi rakyat.

"Keputusan (Tun) Dr Mahathir itu tidak akan membawa apa-apa perubahan dan (tidak) mengejutkan PAS," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis yang sama.

Menurutnya PAS sudah menjangka percaturan bekas Presiden Umno itu berikutan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri tidak lama lagi.

Thursday, March 26, 2009

Pemuda jangan jadi pembodek

Pergerakan Pemuda UMNO perlu menjadi kumpulan yang menyuarakan suara hati rakyat dan bukan menjadi pengampu serta pembodek.

Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim menegaskan, untuk menjadikan pergerakan itu terus relevan, Pemuda juga perlu mendekatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti ketika parti itu mula-mula ditubuhkan pada 1946.

''Kalau kita lihat, UMNO pada asalnya ditubuhkan oleh orang Melayu untuk membela nasib orang Melayu tetapi sekarang ini bagaimana orang Melayu hendak menentukan nasib parti ini kerana kita dilihat gagal untuk memperjuangkan hak orang Melayu.

''Hari ini kita begitu jauh daripada rakyat, rakyat telah meminggirkan UMNO dan beranggapan tidak perlu lagi UMNO untuk memperjuangkan nasib mereka dan perkara ini perlu diambil berat dengan memberi perhatian janganlah terlalu seronok maklumlah kerana pemilihan parti ini berlaku tiga tahun sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul terima kasih kepada ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Azimi menegaskan, ahli Pemuda perlu kembalikan UMNO kepada rakyat kerana ia akan menentukan sama ada parti itu akan diterima pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan menjadi sejarah ataupun hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Katanya, selepas pemilihan pergerakan ini, Pemuda perlu merapatkan barisan dengan kepimpinan baru dengan menumpukan pada usaha mengembalikan semula sokongan rakyat.

''Ahli pergerakan perlu bersatu padu, mengamalkan semangat setiakawan dan menghindari perlakuan buruk seperti politik penindasan dan cantas-mencantas dalam menghadapi pemilihan parti kerana tidak mahu kita menang sorak kampung tergadai," katanya.

Jelasnya, musuh sebenar Pemuda ialah parti pembangkang yang akan ditentang pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Air (Sarawak), bermula 29 Mac ini.

Azimi memberitahu, amanah, tanggungjawab dan cabaran barisan pemimpin baru Pemuda amat besar terutama ketika sokongan rakyat semakin berkurangan.

''Pemimpin UMNO membawa imej parti dan persepsi terhadap pemimpin-pemimpin ini diambil kira oleh rakyat, oleh itu siapa sahaja yang dipilih harus bersatu dan teruskan perjuangan untuk berhadapan dengan cabaran lebih besar selepas ini," katanya.

Tegasnya, Pemuda pastinya telah bersedia untuk berubah dan perubahan di dalam barisan kepimpinan pergerakan ini akan dapat menarik lebih ramai golongan belia menyertai parti.

''Apa yang saya mahu pergerakan ini fahami ialah barisan kepimpinan Pemuda ini bukan mewakili sayap sahaja tetapi ia juga merupakan pemimpin orang Melayu yang inginkan mereka menjamin nasib mereka," katanya.

Tegasnya, orang Melayu masih sayangkan UMNO sebab itu perhimpunan kali ini mendapat perhatian lebih dari pilihan raya umum dan ia amat penting kepada kelangsungan kehidupan orang Melayu.

''Orang Melayu tetap sayangkan UMNO, UMNO adalah parti orang Melayu, kewujudan UMNO kerana orang Melayu, memperjuangkan nasib mereka adalah perjuangan UMNO dan orang Melayu dan UMNO tidak boleh dipisahkan," katanya.

Wednesday, January 21, 2009

Laporan rasuah terhadap MB S'gor

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam aduannya, Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lagi dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit - Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Aduannya diterima oleh Pengerusi SPRM SElangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pada jam 10.45 pagi.

Friday, January 16, 2009

TEKS PENUH SURAT ANWAR IBRAHIM KEPADA MAHATHIR

Aku tidak berapa minta untuk berpolitik tapi surat ini memberi 10001 satu persoalan buat diri ku...aku menerima surat ini dari sumber yang sahih dah boleh dipercayai... harap dapat anda membaca dan memahami nye...

Surat Anwar bertulis tangan kepada Dr Mahathir.

YAB Dato Seri Dr Mahathir.

Assalamualikum Warahmatullah.


Perkembangan beberapa hari ini kebelakangan ini sungguh merimaskan. Berita-berita yang mengaibkan peribadi saya secara berterusan oleh media tempatan nampaknya tidak berkesudahan.

Saya dan Azizah harus tabah. Anak-anak saya mulanya agak sugul dan gundah. Hati mereka luka dan pelajaran mungkin terjejas. Alhamdulillah, mereka kian teguh berkat sokongan keluarga besar kami, rakan-rakan rapat-khususnya Azizah yang sentiasa disamping mereka.

Saya masih kebingungan, bertanyakan punca konspirasi untuk mengaib dan menjatuhkan saya. Harapan saya, ialah agar keadaan sedikit reda bagi membolehkan saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

Seperkara lainnya, ialah perihal keselamatan keluarga saya. Ibu bapa saya mengulangi pertimbangan Dato Seri agar anak angkat mereka tidak harus ditahan. Memadailah, penderaan yang kami alami sebagai keluarga dengan menghadapi tuduhan yang amat berat.

Betapa getir dan cemas kedudukan kami, saya dan Azizah tidak pernah melupakan curahan kasih sayang, bimbingan dan peluang yang Dato Seri berikan.


Meskipun perhubungan diantara kita agak renggang, saya tidak mungkin melupakan jasa baik Datuk Seri.

Semoga Allah S.W.T memberikan taufik dan hidayah, memelihara kesejateraan kita bersama.

Salam saya dan Azizah kepada Dato Seri dan kak Hasmah.

Anwar Ibrahim.
8 September 1998

* anak angkat dalam surat ini merujuk kepada Sukma Darmawan Samitaat Madja

Wednesday, January 14, 2009

Hujan Diramal, Halang Pengundi Atas Pagar Mengundi

Hujan dijangka turun pada Sabtu ini, di mana lebih 80,000 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dijadual membuang undi mereka bagi memilih wakil di Parlimen.

Berita ini tidak begitu baik bagi parti-parti yang bertanding kerana ini mungkin menjejaskan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi.

"Kita menghadapi pertandingan sengit, tanpa diperkatakan lagi betapa pentingnya untuk kita memastikan jumlah yang ramai untuk keluar mengundi. Tetapi ini sudah pasti menjejaskan jumlah mereka yang keluar mengundi jika hujan," kata seorang pekerja bilik operasi Barisan Nasional (BN) di Pasir Panjang, di sini.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi, hujan dijangka pada petang sementara cuaca diramal mendung pada pagi.

Hanya mahu dikenali sebagai Azahara, kebimbangan beliau bukan tanpa asas terutamanya pengundi atas pagar sering tidak peduli bagi sesiapa pun mereka undi yang dianggapnya sebagai tidak penting.

"Bagi pengundi kumpulan ini, mereka tidak peduli siapa yang akan mewakilinya walaupun sedikit sebab, dalam kes ini, hujan, sudah cukup untuk menghalang mereka daripada meninggalkan rumahnya," jelas beliau.

Sentimen beliau dikongsi pembangkang, yang menegaskan jentera pilihan raya perlu memastikan pengundi atas pagar akan keluar mengundi Sabtu ini.

"Kita tahu pengundi kita akan keluar. Ia hanya pengundi atas pagar yang membimbangkan kita dan sudah tentu dalam pertandingan sengit ini, kita perlukan mereka," kata seorang pemerhati dalaman parti yang bersetuju bahawa hujan mungkin bermakna mereka tinggal di rumah untuk pengundi atas pagar yang mewakili kira-kira 20 peratus daripada 80,229 pengundi.

Keyakinan yang berbeza, cakap-cakap mengatakan bahawa pengundi pembangkang telah berpecah kerana ramai yang tidak berpuashati dengan calon pilihan.

Sambil mengakui bahawa PAS ada sedikit masalah dalam meyakinkan pengundi, terutamanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menerima calonnya Mohd Abdul Wahid Endut, beliau mendakwa bahawa perkara itu telah dilupakan.

Banyak diperkatakan bahawa sesetengah pengundi pembangkang mungkin melupakan sama sekali untuk mengundi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa satu pungutan suara dibuat oleh PAS di tiga kawasan pilihan raya negerinya, pengundi meminati Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sebagai calon mereka, tetapi parti itu mencalonkan ADUN Wakaf Mempelam bagi lima penggal Mohd Abdul Wahid Endut bertanding menentang calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Penganalisis politik percaya bahawa pilihan raya kecil ini sengit kerana parti-parti yang bertanding cuba menarik pengundi Cina dan atas pagar.

Pada pilihan raya 8 Mac lepas, kira-kira 80 peratus daripada 80,325 pengundi di kawasan pilihan raya itu keluar mengundi.

Kedua-dua parti yang bertanding bersetuju bahawa penduduk tempatan kini tidak lagi ke tempat ceramah.

"Jika anda memandu di sekitar kawasan pilihan raya itu pada waktu malam, anda boleh lihat bahawa jumlah mereka yang hadir pada ceramah ini tidak ramai, tak meriah," kata Azhar menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang hadir pada ceramah pembangkang ialah orang luar.

"Mereka dari kawasan pilihan raya jiran. Jika mereka dengar ada pemimpin tinggi datang ke bandar ini, mereka akan hadir untuk dengar ceramah," kata beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Wan Abdul Muttalib Embong bersetuju bahawa pilihan raya kecil ini, orang kurang ghairah untuk datang mendengar ceramah.

"Tidak seperti mereka di pantai Barat, orang di sini lambat untuk bergerak," kata beliau.

Bagaimanapun sesetengah mengatakan bahawa penduduk tempatan mula merasa bosan mendengar ceramah kerana penceramah sering bercakap mengenai isu-isu lama.

"Saya lebih suka tinggal di rumah, tonton TV daripada menghabiskan masa dengar retorik. Malahan sering hujan dan esok satu hari bekerja lagi," kata seorang lelaki berusia 30-an, sementara sahabatnya lebih berminat untuk mendapatkan maklumat daripada internet dan portal berita.