Thursday, March 26, 2009

Pemuda jangan jadi pembodek

Pergerakan Pemuda UMNO perlu menjadi kumpulan yang menyuarakan suara hati rakyat dan bukan menjadi pengampu serta pembodek.

Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim menegaskan, untuk menjadikan pergerakan itu terus relevan, Pemuda juga perlu mendekatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti ketika parti itu mula-mula ditubuhkan pada 1946.

''Kalau kita lihat, UMNO pada asalnya ditubuhkan oleh orang Melayu untuk membela nasib orang Melayu tetapi sekarang ini bagaimana orang Melayu hendak menentukan nasib parti ini kerana kita dilihat gagal untuk memperjuangkan hak orang Melayu.

''Hari ini kita begitu jauh daripada rakyat, rakyat telah meminggirkan UMNO dan beranggapan tidak perlu lagi UMNO untuk memperjuangkan nasib mereka dan perkara ini perlu diambil berat dengan memberi perhatian janganlah terlalu seronok maklumlah kerana pemilihan parti ini berlaku tiga tahun sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul terima kasih kepada ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Azimi menegaskan, ahli Pemuda perlu kembalikan UMNO kepada rakyat kerana ia akan menentukan sama ada parti itu akan diterima pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan menjadi sejarah ataupun hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Katanya, selepas pemilihan pergerakan ini, Pemuda perlu merapatkan barisan dengan kepimpinan baru dengan menumpukan pada usaha mengembalikan semula sokongan rakyat.

''Ahli pergerakan perlu bersatu padu, mengamalkan semangat setiakawan dan menghindari perlakuan buruk seperti politik penindasan dan cantas-mencantas dalam menghadapi pemilihan parti kerana tidak mahu kita menang sorak kampung tergadai," katanya.

Jelasnya, musuh sebenar Pemuda ialah parti pembangkang yang akan ditentang pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Air (Sarawak), bermula 29 Mac ini.

Azimi memberitahu, amanah, tanggungjawab dan cabaran barisan pemimpin baru Pemuda amat besar terutama ketika sokongan rakyat semakin berkurangan.

''Pemimpin UMNO membawa imej parti dan persepsi terhadap pemimpin-pemimpin ini diambil kira oleh rakyat, oleh itu siapa sahaja yang dipilih harus bersatu dan teruskan perjuangan untuk berhadapan dengan cabaran lebih besar selepas ini," katanya.

Tegasnya, Pemuda pastinya telah bersedia untuk berubah dan perubahan di dalam barisan kepimpinan pergerakan ini akan dapat menarik lebih ramai golongan belia menyertai parti.

''Apa yang saya mahu pergerakan ini fahami ialah barisan kepimpinan Pemuda ini bukan mewakili sayap sahaja tetapi ia juga merupakan pemimpin orang Melayu yang inginkan mereka menjamin nasib mereka," katanya.

Tegasnya, orang Melayu masih sayangkan UMNO sebab itu perhimpunan kali ini mendapat perhatian lebih dari pilihan raya umum dan ia amat penting kepada kelangsungan kehidupan orang Melayu.

''Orang Melayu tetap sayangkan UMNO, UMNO adalah parti orang Melayu, kewujudan UMNO kerana orang Melayu, memperjuangkan nasib mereka adalah perjuangan UMNO dan orang Melayu dan UMNO tidak boleh dipisahkan," katanya.

No comments:

Post a Comment