Tuesday, March 31, 2009

Tarikh Peralihan Kuasa: Tunggu Kenyataan Rasmi, Kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tarikh sebenar peralihan kuasa Perdana Menteri kepada beliau daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya akan diketahui selepas kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Katanya beliau tidak boleh membuat sebarang ulasan selagi kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

"Ini kena tunggu kenyataan rasmi dululah," katanya kepada pemberita selepas melawat Sin Chew Daily di sini, Selasa.

Najib, yang telah mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada perhimpunan agung parti itu minggu lepas, berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa beliau akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Jumaat ini.

Abdullah, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Khamis ini.

Ketika ditanya mengenai kabinet barunya, Najib berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas acara angkat sumpah jawatan Perdana Menteri dijalankan.

Ditanya kemungkinan beliau akan memilih calon Umno yang kalah dalam pemilihan Umno lepas untuk membarisi kabinetnya nanti, Najib berkata: "Ia belum difikirkan lagi."

Pada pemilihan Umno yang lepas, beberapa menteri dan timbalan menteri gagal merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi parti menyebabkan seorang daripada mereka menyuarakan hasrat meletakkan jawatan dalam kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, antara yang tewas, berkata beliau akan meletak jawatan kabinetnya dengan alasan kekalahan itu menggambarkan beliau tidak cemerlang dalam tugasnya sebagai menteri.

Menteri-menteri lain yang kalah termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim. Mereka bagaimanapun menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan masing-masing.

SUMBER : BERNAMA

Monday, March 30, 2009

Kemasukan Dr M Pulihkan Kepercayaan Rakyat Terhadap Umno

Keyakinan rakyat kepada Umno dan kerajaan akan kembali kukuh sekiranya mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyertai Umno, kata anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim berkata Dr Mahathir mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap suasana politik negara dan ia mampu menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin menurun sebelum ini.

"Pengaruh Tun Mahathir bukan sahaja mampu menarik bangsa Melayu menyokong semula Umno tetapi turut memberikan keyakinan kepada bukan Melayu untuk menyokong kerajaan," katanya selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun ke 59 Keputeraan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Ibrahim mengulas pengumuman Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini akan menyertai semula Umno pada satu tarikh sesuai.

Katanya pengaruh Dr Mahathir itu bukan sahaja mempunyai erti yang sangat besar kepada rakyat negara ini tetapi juga turut diakui oleh masyarakat antarabangsa dan sebab itu Umno perlu menerima pandangannya jika pemimpin itu kembali ke dalam Umno.

"Saya rasa tidak lama lagi Tun (Mahathir)...akan menyertai semula Umno dan kini sedang melihat perkembangan dalam parti itu," katanya.

Ibrahim yang rapat dengan Dr Mahathir juga turut membayangkan akan membuat "satu kejutan" terhadap senario politik dan juga menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman itu.

"Saya orang kerdil dan tidak penting, tapi Tun yang lebih penting (untuk masuk Umno)," katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman Dr Mahathir itu dan katanya ini menunjukkan bahawa beliau sangat sayangkan parti terbesar bangsa Melayu itu.

"Umno sentiasa buka pintu kepada Tun dan mampu berperanan penasihat kepada kepimpinan baru negara," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Pada majlis pengurniaan itu, Dr Ahmad Zahid merupakan penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapa Mohamed pula menyifatkan kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam Umno satu petanda yang baik untuk penyatuan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani amat berharap Dr Mahathir segera berbuat demikian untuk memperkukuhkan bukan sahaja parti tetapi memberi kekuatan kepada kerajaan.

"Negara perlukan buah fikiran bernas daripada pemimpin seperti Tun dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai kemampuan tinggi untuk membawa negara ke mercu kejayaan," katanya.

Dalam pada itu, PAS berpendapat pengumuman Dr Mahathir itu tidak akan mampu membantu Barisan Nasional (BN) memenangi tiga pilihan raya kecil - Parlimen Bukit Gantang di Perak; DUN Bukit Selambau di Kedah; serta DUN Batang Ai di Sarawak pada 7 April ini.

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata ia (pengumuman itu) tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada kedudukan pilihan raya kecil ketiga-tiga kawasan itu selagi imej negatif Umno masih membayangi rakyat.

"Keputusan (Tun) Dr Mahathir itu tidak akan membawa apa-apa perubahan dan (tidak) mengejutkan PAS," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis yang sama.

Menurutnya PAS sudah menjangka percaturan bekas Presiden Umno itu berikutan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri tidak lama lagi.

Thursday, March 26, 2009

Pemuda jangan jadi pembodek

Pergerakan Pemuda UMNO perlu menjadi kumpulan yang menyuarakan suara hati rakyat dan bukan menjadi pengampu serta pembodek.

Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim menegaskan, untuk menjadikan pergerakan itu terus relevan, Pemuda juga perlu mendekatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti ketika parti itu mula-mula ditubuhkan pada 1946.

''Kalau kita lihat, UMNO pada asalnya ditubuhkan oleh orang Melayu untuk membela nasib orang Melayu tetapi sekarang ini bagaimana orang Melayu hendak menentukan nasib parti ini kerana kita dilihat gagal untuk memperjuangkan hak orang Melayu.

''Hari ini kita begitu jauh daripada rakyat, rakyat telah meminggirkan UMNO dan beranggapan tidak perlu lagi UMNO untuk memperjuangkan nasib mereka dan perkara ini perlu diambil berat dengan memberi perhatian janganlah terlalu seronok maklumlah kerana pemilihan parti ini berlaku tiga tahun sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul terima kasih kepada ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Azimi menegaskan, ahli Pemuda perlu kembalikan UMNO kepada rakyat kerana ia akan menentukan sama ada parti itu akan diterima pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan menjadi sejarah ataupun hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Katanya, selepas pemilihan pergerakan ini, Pemuda perlu merapatkan barisan dengan kepimpinan baru dengan menumpukan pada usaha mengembalikan semula sokongan rakyat.

''Ahli pergerakan perlu bersatu padu, mengamalkan semangat setiakawan dan menghindari perlakuan buruk seperti politik penindasan dan cantas-mencantas dalam menghadapi pemilihan parti kerana tidak mahu kita menang sorak kampung tergadai," katanya.

Jelasnya, musuh sebenar Pemuda ialah parti pembangkang yang akan ditentang pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Air (Sarawak), bermula 29 Mac ini.

Azimi memberitahu, amanah, tanggungjawab dan cabaran barisan pemimpin baru Pemuda amat besar terutama ketika sokongan rakyat semakin berkurangan.

''Pemimpin UMNO membawa imej parti dan persepsi terhadap pemimpin-pemimpin ini diambil kira oleh rakyat, oleh itu siapa sahaja yang dipilih harus bersatu dan teruskan perjuangan untuk berhadapan dengan cabaran lebih besar selepas ini," katanya.

Tegasnya, Pemuda pastinya telah bersedia untuk berubah dan perubahan di dalam barisan kepimpinan pergerakan ini akan dapat menarik lebih ramai golongan belia menyertai parti.

''Apa yang saya mahu pergerakan ini fahami ialah barisan kepimpinan Pemuda ini bukan mewakili sayap sahaja tetapi ia juga merupakan pemimpin orang Melayu yang inginkan mereka menjamin nasib mereka," katanya.

Tegasnya, orang Melayu masih sayangkan UMNO sebab itu perhimpunan kali ini mendapat perhatian lebih dari pilihan raya umum dan ia amat penting kepada kelangsungan kehidupan orang Melayu.

''Orang Melayu tetap sayangkan UMNO, UMNO adalah parti orang Melayu, kewujudan UMNO kerana orang Melayu, memperjuangkan nasib mereka adalah perjuangan UMNO dan orang Melayu dan UMNO tidak boleh dipisahkan," katanya.