Friday, December 19, 2008

Anak Kapal Masindra 7 Yang Ditawan Lanun Di Teluk Aden Selamat Dan Sihat

Kesemua 11 anak kapal Masindra 7, kapal tunda milik syarikat Malaysia yang ditawan lanun di perairan Yemen pada Selasa lepas, dilapor berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Wisma Putra juga telah memberitahu perkara itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di sini memandangkan kesemua anak kapal itu terdiri daripada warga negara Indonesia.

"Perampas kapal tunda itu dalam komunikasinya dengan pemilik kapal, Masindra Shipping (M) Sdn Bhd, melalui telefon satelit telah memaklumkan kapal itu akan dibawa ke perairan Somalia serta urusan pembayaran wang tebusan akan dibincangkan kemudian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rais berkata bahawa daripada taklimat yang diberi oleh wakil Syarikat Masindra Shipping Sdn Bhd, kapal itu mempunyai bekalan makanan yang boleh menampung selama 30 hari.

Katanya syarikat itu turut mengharapkan kerjasama kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan krisis itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Kejadian itu berlaku pada 12.15 pagi waktu Malaysia apabila kapal tunda yang didaftarkan di Pelabuhan Klang bersama sebuah tongkang sedang berada 45 batu nautika dari pesisir pantai Yemen.

Rampasan kapal tunda tersebut turut dimaklumkan kepada pejabat perwakilan Malaysia di Sana'a oleh sebuah syarikat Malaysia, Muhibbah Engineering cawangan Sana'a, yang menyewa kapal tunda dan tongkang tersebut.

Rais juga berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sri Indera Sakti, yang kini berada di Teluk Aden, sedia memberi bantuan yang sewajarnya kepada semua kapal dagang Malaysia yang menggunakan laluan di perairan tersebut.

"Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Persatuan Kapal-kapal Malaysia supaya menyebarkan berita tersebut kepada semua syarikat perkapalan Malaysia," katanya.

Semalam Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata kapal KD Sri Indera Sakti tidak menerima maklumat mengenai pergerakan kapal Masindra 7 dari pemilik syarikat perkapalan itu.

Abdul Aziz berkata kapal dagang milik Malaysia perlu memaklumkan kepada kapal TLDM itu jika ingin melalui perairan itu bagi memudahkan koordinasi dilakukan untuk menggelakkan diserang lanun.

Pada Rabu lepas kapal KD Sri Indera Sakti telah membantu menyelamatkan kapal Zhenhua 4 yang didaftarkan di China di Teluk Aden daripada dirampas lanun.

Kapal KD Sri Indera Sakti telah berada di perairan Teluk Aden ekoran kejadian dua buah kapal MISC ditawan lanun pada Ogos lepas.

Pada 19 Ogos, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Filipina ditawan lanun di perairan itu menyebabkan seorang anak kapal warga Filipina mati akibat terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian MT Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal, 36 rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Filipina pula dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi, ke Singapura.

Pada 27 Sept anak-anak kapal tangki Bunga Melati 5 dibebaskan dan diikuti pembebasan anak-anak kapal tangki Bunga Melati 2, dua hari kemudian setelah MISC membayar sejumlah pampasan.

Tuesday, December 16, 2008

Sokongan untuk Mukhriz tidak luntur

Penyokong Datuk Mukhriz Mahathir yakin bahawa sokongan bahagian-bahagian kepada ahli Parlimen Jerlun itu untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, tidak akan luntur walaupun pemilihan jawatan itu akan hanya berlangsung Mac depan.

Sehubungan itu, Pegawai Khas kepada Mukhriz, Amran Ali menolak tanggapan bahawa sokongan mereka kepada Mukhriz ibarat 'hangat-hangat tahi ayam' ekoran pelbagai isu yang melanda parti itu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

mukhriz mahathir and umno pemuda"Bukan berkurangan, tapi tempoh kempen terlalu panjang. Oleh kerana kempen terlalu panjang, maka akan ada keluh kesah dari kalangan perwakilan.

"Tapi di hujung (tarikh berkempen) akan ada sentuhan yang membolehkan kemenangan (berpihak kepada Mukhriz)," kata Amran kepada Malaysiakini.

Selepas mesyuarat bahagian berakhir 9 November lalu, Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno memperolehi pencalonan terbanyak di antara calon-calon yang layak bertanding jawatan tersebut.

Beliau mendapat 74 pencalonan, diikuti bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dengan 62 pencalonan dan Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin (53 pencalonan).

Siri pertemuan

Mukhriz mendapat sokongan padu dari 14 daripada 15 bahagian di Kedah, Johor (13 bahagian), Pahang (8 bahagian) dan Negeri Sembilan (4 bahagian).

Amran berkata, Mukhriz sedang mengadakan siri perjumpaan dengan perwakilan dan akar umbi untuk bertukar-tukar pandangan bagi memperkukuhkan lagi pergerakan Pemuda Umno.

Beliau menolak tanggapan bahawa siri perjumpaan tersebut melanggar tata etika kempen yang dikawal selia oleh Majlis Tertinggi.

"Majlis pertemuan dengan perwakilan diadakan untuk berbincang dan bertukar fikiran, tanpa ada agenda dan kepentingan peribadi.

"Datuk (Mukhriz) menawar diri untuk berkhidmat (kepada parti)," kata Amran lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga bertemu dengan golongan muda di peringkat bahagian bagi menarik balik sokongan mereka kepada pergerakan Pemuda Umno bagi memperkasakan lagi Umno.

Bayangan Dr M

Menurut Amran lagi, Mukhriz akan berusaha untuk berjumpa dengan perwakilan di seluruh negara.

Berdasarkan perkembangan sehingga ini, peluang bagi anak bongsu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, adalah cerah untuk memenangi jawatan ketua Pemuda Mac depan.

Amran yang juga bekas setiausaha Pemuda Jerlun, tidak menafikan kemungkinan Mukhriz dibayangi bapanya.

"Tetapi pencalonan yang Datuk Mukhriz perolehi itu, adalah atas kekuatan peribadinya sebagai seorang pemimpin.

"Mereka (bahagian) menterjemahkan suara mereka dalam bentuk pencalonan untuk Datuk Mukhriz bagi membawa perubahan dalam Pemuda," tambah Amran.

Menurut Amran lagi, Mukhriz adalah seorang pemimpin yang berwawasan, dan mengutamakan agenda parti daripada kepentingan peribadi.

Petrol Dan Diesel Turun 10 Sen Berkuatkuasa Selasa


Kerajaan hari ini mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuatkuasa esok 16 Disember.

Dengan itu harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter; petrol RON92 daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter dan diesel daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Monday, December 15, 2008

BenQ rangkul reka bentuk terbaik


BENQ memperlihatkan keunggulannya setelah tiga produknya terpilih untuk merangkul anugerah reka bentuk terbaik baru-baru ini.

Lebih membanggakan, tiga produk tersebut iaitu monitor LCD M2200W 16:9, TV LCD V37 37 inci dan komputer riba Joybook P53 keluaran BenQ itu telah dipilih untuk meraih anugerah tersebut daripada 3,023 penyertaan produk-produk lain.

Menurut Ketua Pegawai Reka Bentuk BenQ, Manfred Wang, Pusat Reka Bentuk Gaya Hidup BenQ telah memberi sepenuh dedikasi dalam usaha mereka cipta produk bukan hanya sekadar untuk kelihatan menarik sahaja.

“Malah, berteraskan kaji selidik BenQ yang dijalankan ke atas tingkah laku pengguna, permintaan dari senario yang berlaku serta kemunculan trend terkini sekali gus telah membuatkan kami untuk menggabungkan nilai estetika serta fungsi yang diyakini perlu disatukan bagi sesebuah produk itu.

“Ini adalah bagi memastikan produk tersebut mampu memenuhi permintaan serta keperluan pengguna masa kini dan ini juga selari dengan kemahuan industri masa kini,” katanya.

Inovasi

Anugerah tersebut yang dianjurkan Organisasi Reka Bentuk Industri dan Promosi Jepun itu merupakan anugerah bertaraf antarabangsa yang diadakan bagi dijadikan platform kepada pengeluar serta pembekal elektronik untuk bersaing dalam usaha memperbaiki serta mencipta inovasi terhadap produk agar dapat dimanfaatkan umum.

Penganugerahan produk-produk tersebut telah dipilih berdasarkan faktor fokus yang menitikberatkan kepada reka bentuk yang mampu memimpin ke arah reka bentuk generasi seterusnya.

Selari dengan kriteria pemilihan anugerah tersebut, kehadiran monitor LCD 16:9 yang mempamerkan keseimbangan dari segi reka bentuk dan fungsi telah membuatkan ia terpilih untuk memenangi anugerah itu.

Di samping itu, televisyen LCD 37 inci BenQ yang nipis lagi bergaya itu selain menjanjikan ciri serta fungsi terkini turut membolehkan ia terpilih.

Sementara bagi komputer riba Joybook P53 yang memperlihatkan penyepaduan gaya dan prestasi itu turut tidak ketinggalan untuk terpilih sebagai salah satu produk yang mempunyai reka bentuk terbaik.

Sejak Pusat Reka Bentuk Gaya Hidup BenQ diasaskan enam tahun lalu, sebanyak 210 anugerah antarabangsa telah diterima dari pelbagai badan dan organisasi yang diiktiraf.

Sunday, December 14, 2008

Pemimpin Harus Berani Tanggung Risiko

Seorang pemimpin harus berani mengambil risiko dan menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin yang berwibawa dan bijak seharusnya berada di hadapan bagi mengepalai orang-orang bawahannya, bukan hanya sekadar memberikan perintah dari belakang tabir.

Menurut beliau, seorang pemimpin bukan sahaja perlu menentukan keputusan yang rasional tetapi juga harus mengambil kira pandangan dan perasaan komuniti pimpinannya tanpa mengenepikan kehendak dan suara majoriti.

"Tetapi apa yang berlaku, banyak orang sebelum mendapat kuasa mereka adalah pemimpin yang baik tapi apabila berkuasa, (mereka) berubah.

"Sesetengah orang ini fikir mereka boleh melakukan apa sahaja apabila sudah memperolehi kuasa," katanya dalam ucaptama pada forum `Hubungan dan Persefahaman Kepimpinan dan Antara Budaya" anjuran Universiti Multimedia (MMU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Sabtu.

Dr Mahathir berkata, pemimpin seumpama itu lazimnya hanya berminat dengan kepentingan peribadi dan tidak pernah memperdulikan wawasan yang harus dicapai.

"Adalah sangat penting untuk para pemimpin peka akan keadaan sekeliling mereka pada setiap masa. Jika tidak, mereka hanya akan memimpin tanpa arah, tidak berguna," katanya.

Memberikan jeneral perang sebagai contoh, Dr Mahathir yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun berkata, mereka perlu berada di barisan paling hadapan, walaupun itu bermakna mereka mungkin akan terkorban.

"Bila kita berada di hadapan, kita berdepan dengan segala bahaya dan mungkin akan terkorban lebih awal tetapi itu cabaran dan risiko yang perlu kita hadapi dengan berani.

"Mereka yang memimpin hanya dari belakang tabir, apabila dia tidak merasakan sebarang bahaya, mereka tidak peka dan mengambil lewa nasib orang bawahan mereka. Dengan cara ini, mereka akan terdorong untuk mengambil keputusan yang tidak waras dan rasional," katanya.

Tegas beliau, pemimpin yang hanya memerintah dari belakang tabir tidak selayaknya digelar pemimpin tetapi hanya layak dipanggil `pengikut'.

"Hanya dengan berada di barisan paling hadapan, seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang berwibawa. Mereka mungkin akan memerlukan sokongan rakyat di belakang mereka, tetapi ia akan menjadikan mereka berani membuat keputusan dan bijak berfikir.

"Sekiranya pemerintahan mereka gagal, maka mereka harus berani mengambil pendirian yang wajar dan tepat seperti berundur atau sebagainya," katanya.

Thursday, December 11, 2008

Dr Mahathir Sampai Syarahan Pada Perbincangan Ketidaktentuan Kewangan Global

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari Khamis menghadiri perbincangan mengenai Ketidaktentuan Kewangan Global dan Masa Depan Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini.

Acara itu dianjurkan oleh Bridges, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, di mana Raja Dr Nazrin Shah ialah Pengerusi Kehormat.

Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemenang anugerah Nobel bagi Ekonomi 2003, Prof Dr Robert Fry Engle III menyampaikan syarahan.

Dr Mahathir berkata dengan hanya menyuntik beberapa bilion ringgit ke dalam ekonomi negara merupakan bukan jawapan dalam mengurangkan kesan krisis kewangan global sekarang.

Beliau berkata negara memerlukan perancangan yang betul dengan terlebih dahulu memahami masalah itu dan puncanya.

"Krisis itu perlu dikaji dengan teliti. Kita perlu faham bagaimana ia berlaku dan bagaimana ia menjejaskan kita sebelum menggariskan perancangan yang betul," katanya.

Dr Mahathir berkata tanpa perancangan yang betul, ia akan hanya melibatkan perubahan kosmestik dan bukannya penyelesaian.

Beliau juga berkata negara perlu terlebih dahulu menyelesaikan ketidakstabilan politiknya sebelum menumpukan terhadap masalah ekonomi.

Beliau juga sangsi bahawa Wawasan 2020, rancangan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 akan dapat dicapai berikutan krisis kewangan dan perubahan radikal dalam dasar dan perancangan negara.

Tuesday, December 9, 2008

Perkhidmatan`Shuttle' Untuk Penduduk Bukit Antarabangsa

Penduduk kawasan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sudah dapat menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu berjalan kaki sejauh 500 meter dari pusat operasi ke kediaman masing-masing apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan empat kenderaan pacuan empat roda untuk perkhidmatan "shuttle" mulai Isnin.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata perkhidmatan itu disediakan setelah penduduk mengadu mengenai kesukaran mereka terpaksa berulang-alik berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat lain di kawasan yang terjejas dengan kejadian tanah runtuh itu.

"Kami membuat keputusan untuk menyediakan khidmat shuttle bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Sementara itu penyelaras trafik perkhidmatan shuttle itu ASP Alhamdu Sehat berkata perkhidmatan shuttle itu telah memudahkan penduduk bergerak untuk pulang ke kediaman bagi membawa keluar kenderaan mereka atau untuk mengambil barangan peribadi.

"Bagi mereka yang ingin membawa turun kenderaan persendirian, kita telah mengadakan sistem masa di mana mereka boleh naik atau turun mengikut waktu yang ditetapkan.

Selain itu, dengan adanya khidmat shuttle ini, penduduk tidak lagi perlu berjalan kaki selama 30 minit dari pusat operasi ke kediaman masing-masing," katanya kepada Bernama.

Masa yang ditetapkan bagi penggunaan kenderaan persendirian ialah dari 7 pagi hingga 9 pagi dan dari pukul 5 petang hingga 7 malam manakala dari 9 pagi hingga 5 petang dan 7 malam hingga 7 pagi, kenderaan persendirian tidak dibenarkan dan mereka perlu menggunakan khidmat shuttle yang disediakan.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) turut menempatkan anggotanya sejak dua hari lepas bagi membantu menyediakan makanan bagi penduduk yang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh.

Penduduk taman perumahan yang diarahkan berpindah berikutan kejadian tanah runtuh yang menimbus dan meranapkan sebahagian daripada 14 banglo pada awal pagi Sabtu lepas ialah Kondominium Impian Selatan, rumah berkembar di Jalan 6A Taman Bukit Jaya serta rumah teres dua tingkat di Jalan 9 dan Jalan 11 Taman Wangsa Ukay.

Saturday, December 6, 2008

Tiga Terkorban, Tujuh Lagi Masih Terperangkap Dalam Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa

Kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini dilaporkan telah mengorbankan tiga orang sehingga 10.30 pagi ini serta menimbuskan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama.

Jumlah korban itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Mangsa korban itu melibatkan seorang ibu dan anaknya dan seorang lelaki lagi. Identiti mangsa masih belum dikenali.

Khalid berkata tujuh lagi mangsa dipercayai masih terperangkap dalam rumah yang tertimbus itu.

"Ada rumah yang roboh sepenuhnya dan ada hanya sebahagian roboh," katanya yang berada ditempat kejadian.

Sebelum itu, beliau melaporkan 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh itu telah berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian bermula 4 pagi tadi.

Khalid berkata polis telah menasihati antara 3,000 hingga 5,000 penduduk di situ agar meninggalkan rumah mereka, yang kebanyakannya berupa apartmen.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) Zaiton Abu Bakar berkata 14 mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

Mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan awal di surau Addinniah di Bukit Antarabangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan menggunakan tidak kurang daripada 12 ambulans.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mohamed Thajudeen sekeluarga bagaimanapun dilaporkan berjaya menyelamatkan diri.

Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.

Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang melawat tempat kejadian berkata pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut melawat tempat kejadian.

Monday, December 1, 2008

Jangan bermain api - Pemuda UMNO

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek diingatkan agar jangan sekali-kali bermain api yang boleh membakar kemarahan orang Melayu dengan mengungkit atau mempertikaikan konsep ketuanan Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad berkata, isu tersebut termasuk kontrak sosial telah disepakati dan dipersetujui oleh semua pihak bagi memastikan kestabilan negara dicapai hingga ke tahap sekarang ini.

"MCA perlu ingat bahawa parti itu sebagai mekanisme pentadbir negara tidak perlu membangkitkan soal yang boleh memecah-belahkan perpaduan atau menimbulkan perasaan sangsi antara kaum,".

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek baru-baru ini yang menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu kini tidak relevan dan ditolak khususnya oleh golongan muda pelbagai kaum.

Soi Lek berkata, apa yang lebih penting ialah keseimbangan dalam perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN).

Rohazam berkata, MCA perlu memahami bahawa konsep itu tidak perlu dipersoalkan kerana ia boleh dilihat sebagai mengancam perpaduan kaum.

Katanya, konsep itu perlu dipertahankan kerana ia adalah faktor penstabilan dalam hubungan kaum dan seterusnya memastikan kelangsungan pembangunan negara bangsa.

"Jangan sekali-kali mengungkit isu yang sudah lama disepakati ini hanya semata-mata hendak menjadi hero," jelasnya.

Katanya lagi, Soi Lek perlu dikenakan tindakan oleh BN kerana sengaja menimbulkan kekacauan dan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu.

"Ia perlu sebagai pengajaran kepada pemimpin lain supaya jangan bermain dengan isu-isu sensitif," tegas beliau.