Sunday, November 30, 2008

Mengembalikan Chow Kit sebagai pusat tumpuan pelancong dan orang ramai

Chow Kit dan kawasan sekitarnya akan diberi “nafas baru” dalam usaha mengembalikan kawasan itu sebagai pusat tumpuan orang ramai, tempat membeli-belah dan juga destinasi pelancongan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Katanya bagi merealisasi hasrat itu, kementerian itu telah melaksanakan Program Gerakan Tumpuan (PGT) di kawasan berkenaan dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh menjurus kepada kemasyhuran jenamanya.

“Chow Kit masyhur dengan pasar dan gerai-gerai yang menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai. Adalah menjadi hasrat kerajaan dan agensi di bawahnya mengembalikan kemasyhuran itu agar ia dan warganya tidak tercicir daripada arus pembangunan dan pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PGT Kawasan Chow Kit di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam memberi dimensi baru kepada kawasan berkenaan, tindakan penguatkuasaan bagi membendung Chow Kit daripada unsur jenayah, penagihan dadah, penjajaan tidak berlesen, pendatang asing tanpa izin, pengemis serta kutu rayau harus ditingkatkan.

Friday, November 28, 2008

Govt to give free fertiliser to hill padi farmers

Hill padi farmers in Sarawak will soon be getting a free bag of fertiliser from the Government to increase their yield.

Deputy Chief Minister Tan Sri Alfred Jabu said the state had received RM14.6mil from the federal government to buy the fertiliser for the farmers.

“Each farming family involved in planting hill padi will get one 25kg bag of fertiliser free of charge,” he told a press conference at his office here on Friday.

“The idea is to increase the production of hill padi so as to lessen our dependency on buying rice from outside.”

There are some 88,000 hill padi farmers throughout the state.

Jabu said early batches of the fertiliser were expected to be distributed to the farmers starting this week.

On another matter, he said the Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (Salcra) will pay dividends totalling RM52mil to 16,000 oil palm scheme participants this year.

“This is higher than the RM30.4mil paid last year,” he said, adding that it was Salcra’s biggest ever dividend payout.

He said Salcra had also set aside RM22mil to pay back state and federal government loans due this year as well as RM250,000 for various corporate social responsibility programmes.

These include donations of RM50,000 each to the Sarawak Association for the Welfare of Orphans and the Dayak Bidayuh National Association.

SOURCE: BY THE STAR-NOV 28,08

Thursday, November 27, 2008

Fahami Dan Jangan Putarbelit Intipati Fatwa Mengenai Yoga, Kata Abdullah

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta semua pihak memahami intipati fatwa yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan amalan yoga dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga membuat rakyat terkeliru.

Perdana Menteri berkata bagi umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak menggunakan sebarang bentuk mantera, mereka boleh meneruskan aktiviti tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan kesihatan mereka.

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan," katanya kepada Bernama apabila dihubungi di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas pelbagai pandangan dan kekeliruan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam kerana ia melibatkan unsur mantera dan pemujaan.

Perdana Menteri berkata masyarakat bukan Islam tidak perlu berkecil hati mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu kerana ia adalah berkaitan dengan masyarakat Islam semata-mata.

"Apa yang saya fahami daripada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu adalah untuk memberi penjelasan kepada umat Islam yang terlibat dalam senaman yoga, " katanya.

Abdullah berkata beliau turut memahami bahawa keputusan untuk melaksanakan fatwa itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Pengumuman mengenai pengharaman yoga untuk umat Islam itu dibuat oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Abdul Shukor Husin pada Sabtu lepas.

Tuesday, November 25, 2008

Komputer berinspirasikan teknologi pesawat


PERANAN komputer yang mampu membantu manusia menyelesaikan pelbagai tugasan menjadikannya semakin diperlukan dalam semua aspek kehidupan.

Tidak kira untuk tujuan apa atau di mana sekali pun, aplikasi penggunaan komputer telah menjadi sebahagian daripada keperluan komuniti moden.

Senario tersebut telah mendorong syarikat pengeluar komputer terkemuka Hewlett Packard (M) Sdn. Bhd. (HP) untuk menghasilkan rangkaian komputer riba yang sofistikated dan inovatif dengan tawaran prestasi pengkomputeran terbaik.

Mengambil inspirasi daripada kejuruteraan pesawat, syarikat tersebut baru-baru ini memperkenalkan HP EliteBook sebagai komputer riba perniagaan paling versatil yang pernah dihasilkan.

Dengan fungsi teknologi mobiliti terkini, portfolio HP EliteBook menyasarkan pengguna dari golongan profesional dan juga untuk perniagaan.

Terdapat enam model komputer riba yang ditawarkan di bawah rangkaian HP EliteBook iaitu 6930p Notebook PC, 2530p Notebook PC, 2730p Notebook PC, 8530p Notebook PC, 8530w Mobile Workstation dan 8730w Mobile Workstation.

Menurut Pengurus Besar Negara bagi Kumpulan Sistem Peribadi, Danny Lee, kesemua model tersebut memberi fokus kepada peningkatan prestasi dari segi kebolehpercayaan, prestasi dan mudah digunakan.

''Kombinasi rekaan dan fungsinya bakal memberi persekitaran kerja luar biasa kepada pengguna.

''Selain itu, integrasi ciri perisian dan perkakasannya juga mampu menyediakan pakej lengkap dari segi sekuriti dan kemudahan aplikasi,'' katanya pada pelancaran model tersebut di Petaling Jaya baru-baru ini.

Salah satu keistimewaan komputer riba tersebut ditonjolkan menerusi kekuatannya yang dibina dengan gred ketenteraan MIL-STD 810F.

Kekuatan tersebut mampu memberi ketahanan kepada cakera keras apabila menerima sebarang bentuk gegaran fizikal selain mampu beroperasi dalam suhu lampau sehingga 60 darjah celsius dan juga kelembapan di bawah -29 darjah celsius.

Dari segi kebolehpercayaan, kesemua model tersebut dibina menggunakan teknologi DuraCase dengan kombinasi material aloi dan magnesium untuk perlindungan maksimum sehingga 18 kali lebih lama.

HP EliteBook turut didatangkan dengan kelebihan DuraKeys untuk perlindungan cetakan huruf pada papan kekunci supaya tahan lama serta DuraFinish untuk fungsi anti calar dan kerosakan ikon pada permukaan komputer riba tersebut.

Untuk fungsi sekuriti, HP EliteBook dilengkapi dengan aplikasi Privacy Filter untuk menghalang sebarang bentuk paparan yang tidak diingini selain teknologi pengesan cap jari bagi mengelakkan pencerobohan.

Selain itu, menerusi fungsi File Sanitizer dan Drive Encryption pula, pengguna dapat menghapuskan data atau fail yang sensitif secara kekal bagi mengelakkan diakses oleh pengguna lain.

Ciri lainnya adalah ia digerakkan oleh pemproses Intel Centrino 2 dengan teknologi vPro serta diintegrasikan dengan aplikasi jalur lebar mobiliti dan juga sambungan tanpa wayar.

Untuk model HP EliteBook 6930p, ia mempunyai kelebihan beroperasi selama 24 jam secara berterusan dengan menggunakan satu bateri sahaja.

Thursday, November 20, 2008

Shahrizat sahkan lawan Rafidah

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan beliau akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini, Shahrizat berkata, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding sekali gus melawan penyandang Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Wanita UMNO mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan,” katanya dalam kenyataan itu.

Wednesday, November 19, 2008

Diskaun tol 10 peratus

Pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite dari 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, selain itu, diskaun tambahan 10 peratus juga akan turut diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas dalam tempoh dan waktu yang sama.

Katanya, PLUS Expressways Berhad yang mengendalikan kedua-dua lebuh raya itu memberikan insentif tersebut bagi mengurangkan beban orang ramai yang menggunakan lebuh raya tersebut.

Beliau berkata, insentif lain pula ialah melalui program Loyalti PLUS dengan pengguna kedua-dua lebuh raya boleh menikmati rebat tol lima peratus daripada nilai terkumpul bulanan minimum RM200 bermula 1 Januari.

“Dengan pemberian insentif ini, kami menjangka aliran trafik bagi lebuh raya PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan) pada waktu tersebut akan meningkat,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Program Insentif Perjalanan PLUS di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin; Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar; dan Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad, Noorizah Abd. Hamid.

Mohd. Zin berharap syarikat konsesi lebuh raya lain mencontohi PLUS Expressways Berhad dengan mengambil inisiatif menurunkan kadar tol masing-masing.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, kerajaan tidak akan memberi sebarang pampasan kepada syarikat konsesi pengendali tol yang menurunkan kadar tol masing-masing.

Menurutnya, pemberian diskaun tol oleh PLUS itu mencatat sejarah kerana kerajaan tidak membayar sebarang pampasan.

Mohd. Zin berkata, hasil kajian Jawatankuasa Penilai yang dikendalikan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pengurangan kadar tol mendapati lapan daripada 23 syarikat konsesi yang mengendalikan lebuh raya, tidak mampu berbuat demikian.

“Mereka ini berhadapan dengan pelbagai masalah antaranya kewangan dan penstrukturan semula hutang,” jelas beliau.

Lapan syarikat konsesi itu ialah pengendali Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Lingkaran Kajang, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat, Lebuh Raya Shah Alam-Kuang, Terowong SMART, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, Lebuh Raya Pintas Selat Kelang Utara dan Lebuh Raya Pintas Selat Kelang Utara Baru.

Sementara itu, Noorizah memberitahu, dianggarkan 800,000 kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan sehari dengan 10 peratus daripadanya pada luar waktu puncak.

Friday, November 14, 2008

Peranti WiMAX dari Motorola


CAPAIAN perkhidmatan Internet di rumah sememangnya diperlukan untuk melaksanakan tugasan harian atau bersosial secara maya.

Bagi merealisasikan tujuan itu, kebanyakan kediaman kini sudah dilengkapi dengan capaian aplikasi berkenaan.

Tidak mahu ketinggalan dalam kemajuan tersebut, syarikat pembangunan teknologi komunikasi, Motorola baru-baru ini telah memperkenalkan penyelesaian sambungan Saling Kebolehoperasian Seluruh Dunia bagi Akses Gelombang Mikro (WiMAX) berkelajuan tinggi.

Motorola WiMAX CPEi siri 300 untuk komputer peribadi menawarkan pengguna sambungan Internet tanpa wayar yang cepat, mudah, tidak memerlukan konfigurasi serta tiada campur tangan operator.

Mengambil inspirasi daripada daripada kejayaan CPEi siri 200, model tersebut dilengkapi dengan Internet Protokol Suara (VoIP) melalui dua port RJ11 untuk sambungan kepada talian telefon.

Produk tersebut diperkenalkan oleh Motorola sempena Pameran dan Persidangan My Broadband 2008, baru-baru ini. .

CPEi 300 boleh digunakan untuk sambungan perkhidmatan Internet dan juga komunikasi suara secara serentak.

Ia turut membenarkan pengguna melaksanakan perkhidmatan pertukaran data dan suara dalam satu pakej yang sama.

CPEi 300 mempunyai kelebihan berfungsi secara plug-and-play yang mampu mengesan liputan secara automatik untuk melaksanakan proses sambungan.

Dengan prestasi kelas radio, liputan rangkaian pada model tersebut bergantung kepada kuasa dan sensitiviti antena menerima isyarat daripada penghantar.

Dengan gabungan multi antena juga, ia menawarkan penyelesaian liputan terbaik dalam kelasnya.

Bagi tujuan keselamatan pula, ia disokong oleh perlindungan protokol bagi melindungi pengguna daripada sebarang ancaman.

Sementara itu, Motorola turut memperkenalkan penyelesaian WiMAX jalur lebar tanpa wayar untuk sambungan mobiliti yang lebih fleksibel.

Kad PCCw 100 mudah untuk diaplikasikan kerana ia sesuai untuk semua sistem operasi seperti Windows XP, SP2 dan Vista.

Kelebihan pada PCCw 100 adalah ia mempunyai rangkaian liputan yang luas dan sensitif tetapi menggunakan kuasa yang rendah.

Tuesday, November 11, 2008

Ahmad Ismail disambut sebagai wira Melayu


Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera di sini bermula dalam suasana penuh emosi dengan kehadiran bekas ketuanya, Datuk Ahmad Ismail yang menerima sambutan sebagai seorang wira.

Perwakilan yang menunggu kedatangan beliau mengangkat kain rentang yang antaranya tertulis perkataan 'Tok Mat Pejuang Tulen' dan 'Hidup Tok Mat'.

Kehadiran beliau disambut dengan paluan kompang serta jeritan 'Hidup Datuk' dan 'Hidup Melayu' sambil pasukan pencak silat memperagakan kehebatan seni mempertahankan diri tradisional itu.

Sebaik memasuki dewan, Ahmad yang digelar sebagai 'Pahlawan Melayu' oleh perwakilan disarungkan tengkolok kuning, selempang kuning dan keris kuning sebagai lambang keperkasaannya.

Kemudian, beliau bersama para perwakilan yang hadir menyanyikan lagu Warisan yang bertemakan nasionalisme Melayu di negara ini.

Ahmad yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kaum dalam satu ucapannya di Permatang Pauh telah digantung keahlian dalam UMNO selama tiga tahun oleh Majlis Tertinggi parti itu pada 10 September lalu.

Beliau didakwa menyatakan bahawa masyarakat Cina merupakan pendatang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.

Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang baru, Abdul Jalil Ariffin berkata, beliau hanya menunggu tindakan daripada parti Gerakan sama ada ia mahu berbaik semula dengan UMNO Bukit Bendera.

Beliau yang menang tanpa bertanding jawatan itu kesal dengan tindakan Gerakan baru-baru ini yang mengumumkan untuk memutuskan semua hubungan dengan UMNO Bukit Bendera.

"Gerakan yang buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kita. Oleh itu, kita hanya tunggu dan lihat apa tindakan mereka selepas ini.
"Saya cuma ingin meluahkan kekesalan dengan tindakan mereka itu lebih-lebih lagi UMNO Bukit Bendera banyak membantu calon-calon Gerakan untuk menang dalam pilihan raya sejak 18 tahun lepas," ujarnya.

Friday, November 7, 2008

Sia-sia adu sogokan ke lembaga disiplin

Sia-sia sahaja melaporkan politik wang kepada lembaga disiplin Umno kerana ia tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT), kata seorang pegawai calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz menambah, beberapa rakannya telah membuat laporan kepada lembaga disiplin mengenai politik wang tetapi tiada maklum balas yang diterima mengenainya.

"Semua orang bercakap mengenai politik wang... Kita difahamkan ada kira-kira 800 laporan serupa telah dibuat kepada lembaga disiplin Umno.

"Tetapi kita tahu lembaga disiplin Umno bukannya sebuah badan bebas, jadi tidak perlu membuat laporan kepadanya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, pihaknya dengan kerjasama cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara sedang mengumpul bukti mengenai politik wang.

Katanya, sebaik sahaja laporan tersebut diperolehi, ia akan diadukan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk tindakan lanjut.

"Jika Umno berani, ia perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat politik wang dalam parti.

"Suruhanjaya ini juga yang sepatutnya yang menyelia mesyuarat Umno di seluruh negara," katanya.

Kamal Amir kelmarin mendakwa Tengku Razaleigh gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan.

Beliau mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

"Ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya.