Tuesday, November 11, 2008
Ahmad Ismail disambut sebagai wira Melayu
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera di sini bermula dalam suasana penuh emosi dengan kehadiran bekas ketuanya, Datuk Ahmad Ismail yang menerima sambutan sebagai seorang wira.
Perwakilan yang menunggu kedatangan beliau mengangkat kain rentang yang antaranya tertulis perkataan 'Tok Mat Pejuang Tulen' dan 'Hidup Tok Mat'.
Kehadiran beliau disambut dengan paluan kompang serta jeritan 'Hidup Datuk' dan 'Hidup Melayu' sambil pasukan pencak silat memperagakan kehebatan seni mempertahankan diri tradisional itu.
Sebaik memasuki dewan, Ahmad yang digelar sebagai 'Pahlawan Melayu' oleh perwakilan disarungkan tengkolok kuning, selempang kuning dan keris kuning sebagai lambang keperkasaannya.
Kemudian, beliau bersama para perwakilan yang hadir menyanyikan lagu Warisan yang bertemakan nasionalisme Melayu di negara ini.
Ahmad yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kaum dalam satu ucapannya di Permatang Pauh telah digantung keahlian dalam UMNO selama tiga tahun oleh Majlis Tertinggi parti itu pada 10 September lalu.
Beliau didakwa menyatakan bahawa masyarakat Cina merupakan pendatang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.
Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang baru, Abdul Jalil Ariffin berkata, beliau hanya menunggu tindakan daripada parti Gerakan sama ada ia mahu berbaik semula dengan UMNO Bukit Bendera.
Beliau yang menang tanpa bertanding jawatan itu kesal dengan tindakan Gerakan baru-baru ini yang mengumumkan untuk memutuskan semua hubungan dengan UMNO Bukit Bendera.
"Gerakan yang buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kita. Oleh itu, kita hanya tunggu dan lihat apa tindakan mereka selepas ini.
"Saya cuma ingin meluahkan kekesalan dengan tindakan mereka itu lebih-lebih lagi UMNO Bukit Bendera banyak membantu calon-calon Gerakan untuk menang dalam pilihan raya sejak 18 tahun lepas," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
apa komen john pasal ahmad ismail ni? adakah dia wira Melayu?
ReplyDelete