Friday, December 19, 2008

Anak Kapal Masindra 7 Yang Ditawan Lanun Di Teluk Aden Selamat Dan Sihat

Kesemua 11 anak kapal Masindra 7, kapal tunda milik syarikat Malaysia yang ditawan lanun di perairan Yemen pada Selasa lepas, dilapor berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Wisma Putra juga telah memberitahu perkara itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di sini memandangkan kesemua anak kapal itu terdiri daripada warga negara Indonesia.

"Perampas kapal tunda itu dalam komunikasinya dengan pemilik kapal, Masindra Shipping (M) Sdn Bhd, melalui telefon satelit telah memaklumkan kapal itu akan dibawa ke perairan Somalia serta urusan pembayaran wang tebusan akan dibincangkan kemudian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rais berkata bahawa daripada taklimat yang diberi oleh wakil Syarikat Masindra Shipping Sdn Bhd, kapal itu mempunyai bekalan makanan yang boleh menampung selama 30 hari.

Katanya syarikat itu turut mengharapkan kerjasama kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan krisis itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Kejadian itu berlaku pada 12.15 pagi waktu Malaysia apabila kapal tunda yang didaftarkan di Pelabuhan Klang bersama sebuah tongkang sedang berada 45 batu nautika dari pesisir pantai Yemen.

Rampasan kapal tunda tersebut turut dimaklumkan kepada pejabat perwakilan Malaysia di Sana'a oleh sebuah syarikat Malaysia, Muhibbah Engineering cawangan Sana'a, yang menyewa kapal tunda dan tongkang tersebut.

Rais juga berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sri Indera Sakti, yang kini berada di Teluk Aden, sedia memberi bantuan yang sewajarnya kepada semua kapal dagang Malaysia yang menggunakan laluan di perairan tersebut.

"Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Persatuan Kapal-kapal Malaysia supaya menyebarkan berita tersebut kepada semua syarikat perkapalan Malaysia," katanya.

Semalam Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata kapal KD Sri Indera Sakti tidak menerima maklumat mengenai pergerakan kapal Masindra 7 dari pemilik syarikat perkapalan itu.

Abdul Aziz berkata kapal dagang milik Malaysia perlu memaklumkan kepada kapal TLDM itu jika ingin melalui perairan itu bagi memudahkan koordinasi dilakukan untuk menggelakkan diserang lanun.

Pada Rabu lepas kapal KD Sri Indera Sakti telah membantu menyelamatkan kapal Zhenhua 4 yang didaftarkan di China di Teluk Aden daripada dirampas lanun.

Kapal KD Sri Indera Sakti telah berada di perairan Teluk Aden ekoran kejadian dua buah kapal MISC ditawan lanun pada Ogos lepas.

Pada 19 Ogos, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Filipina ditawan lanun di perairan itu menyebabkan seorang anak kapal warga Filipina mati akibat terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian MT Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal, 36 rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Filipina pula dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi, ke Singapura.

Pada 27 Sept anak-anak kapal tangki Bunga Melati 5 dibebaskan dan diikuti pembebasan anak-anak kapal tangki Bunga Melati 2, dua hari kemudian setelah MISC membayar sejumlah pampasan.

No comments:

Post a Comment