Saturday, April 27, 2013

#GE 13 : Aku Janji BN Terbaik Berbanding Manifesto Pembangkang


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata manifesto Barisan Nasional (BN) adalah satu aku janji berbanding manifesto pembangkang yang disifatkannya sebagai "penipuan di siang hari".


Timbalan Perdana Menteri berkata aku janji yang ditawarkan dalam manifesto BN itu adalah yang terbaik dan lebih menarik berbanding tawaran dalam manifesto pembangkang yang dibuat semata-mata untuk menarik sokongan pengundi dan tanpa kajian.

Katanya rakyat mungkin telah meneliti kandungan manifesto BN dan parti-parti pembangkang, namun beliau yakin sebahagian besar masyarakat menerima kenyataan bahawa aku janji BN yang mencakupi 17 bidang adalah yang terbaik.

Mengulas kaji selidik Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaya (UMCEDEL) mengenai manifesto pilihan raya, Muhyiddin berkata ia menunjukkan rakyat cukup prihatin tentang apa yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Tapi saya nak jelaskan, (manifesto) pakatan pembangkang seimbas lalu macam boleh, tapi kalau kaji dengan teliti (tidak boleh), kajian oleh pakar kewangan yang telah dibentuk oleh Kabinet baru-baru ini, dipimpin oleh Menteri Kewangan Kedua di mana dapatan kajian itu menunjukkan dia (manifesto pembangkang) tak mungkin 'durable' (berdaya tahan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2013 di sini hari ini.

Beliau berkata sekali pandang tawaran pembangkang seperti menghapuskan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak serta menghapuskan tol dilihat mampu menarik penyokong tetapi sebenarnya tidak dikaji terlebih dahulu.

"Siapa suka nak bayar pinjaman balik, siapa yang tidak suka tol dihapuskan dan harga minyak diturunkan, tawaran sebegitu memang menarik. Secara holistik, yang hendak membayar, menanggung dan mensubsidi adalah kerajaan pusat," katanya.

Beliau berkata untuk menghapuskan tol akan memerlukan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi yang akan melibat kos beberapa bilion ringgit.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak boleh turunkan lagi harga minyak kerana subsidi yang ditanggung kini adalah besar iaitu 24 bilion setahun.

Beliau memberikan contoh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pernah berkata di Singapura bahawa beliau akan menghapuskan subsidi minyak di Indonesia kerana tidak tahan untuk menanggung kos subsidi, namun katanya kerajaan Malaysia masih mampu untuk menanggung subsidi tetapi tidak dapat melebihi RM24 bilion setahun.

Muhyiddin berkata menurut kajian penganalisis ekonomi, kalau manifesto pembangkang itu dilaksanakan, ia akan meletakkan negara di dalam keadaan yang teruk di mana defisit negara akan meningkat dari 4.5 peratus kepada 11 peratus yang boleh mengakibatkan Malaysia menuju ke ambang muflis.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yakin BN Perlis akan terus diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ini berdasarkan sokongan rakyat dan gerak kerja yang sedang dilaksanakan jentera pilihan raya BN.

Katanya, laporan terkini mendapati sokongan di semua kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Perlis kepada BN adalah cukup baik dan yakin sokongan akan terus meningkat sehingga hari pengundian 5 Mei ini.



No comments:

Post a Comment